Wednesday 1 November 2017

ADAT PERKAHWINAN MELAYU





Adat perkahwinan Melayu suatu adat yang begitu unik dalam masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam, adat perkahwinan melayu , kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat perkahwinan melayu begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat.

Berikut adalah peringkat adat perkahwinan melayu yang masih diamalkan sehingga kini :

ADAT MERISIK.
Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat penting. Pertama sekali adalah peringkat merisik . Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Dalam budaya Melayu, adat ini merupakan tahap awal menjodohkan teruna dan dara, yang melibatkan pertemuan antara wakil keluarga teruna dengan orang tua pihak dara. Pertemuan tersebut dianggap penting untuk menghormati keluarga pihak dara. Sebagaimana ungkapan dalam adat Melayu kalau hendak meminang anaknya, pinanglah ibu bapanya terlebih dahulu. Ungkapan tersebut menjelaskan bahwa pandangan dan restu orang tua perlu diperoleh terlebih dahulu dalam membuat keputusan yang besar seperti perkawinan. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis. Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya. Prosesi merisik dilakukan dengan tertib dan sopan untuk menjaga dan memelihara nama baik kedua belah pihak.

ADAT MEMINANG
Setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum berpunya, pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan.Wakil dari pihak lelaki yang biasanya dipilih dari kalangan orang tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki tersebut untuk mewakili mereka meminang anak dara yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada anak dara tersebut tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh untuk memberi jawapan atau dipanggil bertangguh. Sebenarnya, adat bertangguh ini mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh dan menunjukkan kesopanan dalam setiap tingkahlaku. Sudah menjadi rutin dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu untuk tidak tergopoh-gapah dalam mengendalikan apa sahaja dan adalah menjadi pegangan bahawa setiap hal yang dilaksanakan perlu dijalankan dengan rapi dan tersusun mengikut adat yang ditetapkan.

ADAT BERTUNANG
Oleh yang demikian, maka penghantaran tanda daripada lelaki kepada anak dara yang bakal dikahwininya akan dilakukan melalui upacara bertunang. Upacara ini membawa pengertian bahawa anak dara tersebut sudah pun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Tanda yang dihantar oleh lelaki tersebut mengikut adat lazimnya adalah sebentuk cincin sahaja mengikut citarasa dan kemampuan ibu bapa lelaki tersebut. 
            Namun begitu, bagi masyarakat Melayu, selain cincin, beberapa barangan lain turut diberikan seperti sepasang kain dan selendang, selipar atau sepatu, kuih-muih, manisan, dan yang paling utama dan dianggap sakral, sirih junjung. Semua hantaran akan dihias dengan cantik dan menarik serta akan dibalas oleh pihak perempuan sebagai tanda setuju menerima pinangan. Jumlah hantaran yang dihantar oleh pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil dan dibalas lebih oleh pihak perempuan, selalunya sebanyak dua dulang. Contohnya, jika pihak lelaki memberikan 7 hantaran dulang, biasanya pihak perempuan akan membalas 9 dulang. Hantaran dari pihak perempuan biasanya berupa sirih junjung, sepersalinan baju melayu, capal dan kuih-muih.

ADAT BERINAI
Majlis berinai di dalam masyarakat Melayu dijalankan secara berperingkat. Terdapat 3 peringkat berinai iaitu berinai curi, berinai kecil dan berinai besar. Secara ringkasnya berinai curi ini biasanya diadakan pada waktu petang hari selepas hari yang tangan dan tapak kaki bakal pengantin perempuan diinai. Bakal pengantin perempuan dihiasi dan didudukkan di atas pelamin. Ia juga dikatakan diadakan tiga malam sebelum hari langsung dan hanya untuk tatapan saudara mara terdekat sahaja.
             Manalaka berinai kecil pula dilakukan selepas berinai curi. Dan ia selalu dilakukan disebelah petang. Bakal pengantin perempuan dihiasi dan didudukkan di atas pelamin. Ia juga dikatakan diadakan tiga malam sebelum hari langsung dan hanya untuk tatapan saudara mara terdekat sahaja.
             Bagi istiadat berinai besar pula, ianya dijalankan pada malam sebelum majlis langsung atau selepas majlis akad nikah untuk para jemputan khas daripada kedua-dua belah pihak pengantin. Pengantin perempuan akan memakai inai pada kesemua jari tangan dan kaki termasuklah pada tapak tangan. Sebaliknya, pengantin lelaki hanya memakai inai pada jari kelingking, jari manis dan jari hantu pada sebelah tangan sahaja. Istiadat berinai besar bermula dengan para tetamu lelaki naik ke pelamin untuk membuang sedikit nasi kunyit pada sebelah kiri kanan pengantin lelaki. Kemudian dilakukan dengan bertih, diikuti oleh tangkai daun wangi yang dicelupkan ke dalam air daun setawar dan kemudian digunakan untuk menyentuh kedua-dua belakang tangan pengantin lelaki. Akhirnya, tetamu akan mengambil sedikit pes inai dari longgok di tengah dulang dan selepas meletakkannya pada daun sirih yang disediakan oleh emak pengantin, akan meletakkannya pada tapak tangan pengantin lelaki

ACARA-ACARA LAIN YANG BERKAITAN

AKAD NIKAH
Akad nikah merupakan satu acara penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu. Ia bukan suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Upacara ini dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan lain sepertimana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.
            Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam.
            Selepas akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan air sembahyang. Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil keduanya bersalaman. Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan.
            Selepas itu adat berinai akan dijalankan di mana kedua mempelai ditepung tawar. Peralatan yang digunakan untuk upacara ini ialah semangkuk bertih, semangkuk beras kunyit, sepiring inai, beberapa tangkai daun seribu yang diikat dan semangkuk air tepung tawar. Wakil kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini dengan cara mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan pengantin. Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di hadapan pengantin dan juga kepada para hadirin.
            Bunga telur akan diberi kepada mereka yang menepung tawar. Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan ganjil.

MAJLIS PERKAHWINAN
Sebelum majlis perkahwinan dijalankan, berbagai persiapan akan dijalankan termasuklah mendirikan bangsal penanggah, khemah tetamu, menyiapkan pelamin dan bilik pengantin serta menyediakan bunga telur. Majlis perkahwinan juga dikenali sebagai hari langsung atau hari bersanding. Ia merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah pengantin digelar raja sehari.
            Pada hari tersebut, majlis diadakan secara meriah dengan dihadiri oleh sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Kedua-dua mempelai akan memakai dengan pakaian pengantin, lazimnya baju songket dan dihias indah dengan perhiasannya sekali. Pengantin perempuan akan diandam oleh mak andam sebelum majlis persandingan bermula. Bagi mak andam tradisional, solekan pengantin didahului dengan jampi serapah untuk menaikkan seri muka pengantin dan diberi makan sireh untuk membuang perasaan gemuruh.
           Ada juga pengantin yang dicukur bulu kening dan dipotong anak rambutnya supaya kelihatan lebih menarik. Adat mengasah gigi juga dilakukan bertujuan untuk meratakan gigi. Namun adat ini sudah tidak lagi diamalkan oleh masyarakat Melayu hari ini.
           Pengantin lelaki akan diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga manggar dari rumah penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan. Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan taburan beras kunyit. Pengantin perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan.
            Pada kebiasaannya, persembahan pencak silat atau juga dipanggil menyembah pengantin akan diadakan. Selepas itu, pengantin akan akan dibawa naik ke rumah untuk adat bersanding pula.Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa halangan di hadapan tangga, di muka pintu atau di atas pelamin untuk mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu wakil pengantin lelaki perlu membayar tebus pintu atau tebus pelamin. Pengantin akan bersanding di atas pelamin yang dihias indah dan antara yang terdapat di atas pelamin ialah bunga pahar. Semasa adat bersanding diadakan, adat menepung tawar turut dilakukan. Para tetamu dan jemputan yang hadir juga akan diberi bunga telur pada hari tersebut.


Video adat perkahwinan Melayu sumber dari Youtube

No comments:

Post a Comment

ADAT PERKAHWINAN MELAYU

Adat perkahwinan Melayu suatu adat yang begitu unik dalam masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan ada...