Tuesday, 31 October 2017

HANG TUAH WIRA BANGSA


Watak Hang Tuah ini amatlah agung. Hang Tuah adalah wira bangsa Melayu yang perlu terus diabadikan dalam ingatan masyarakat. Berdasarkan pelbagai rujukan termasuk karya-karya agung seperti Hikayat Hang Tuah telah menunjukkan Hang Tuah menepati ciri-ciri sedemikian. Riwayatnya telah dikisahkan dalam bentuk tulisan epik terbesar yang pernah dihasilkan oleh sasterawan Melayu sejak awal abad ke-17 iaitu mula ditulis sekitar 1700 (Leiden manuscript Cod.Or.1762.) tetapi manuskrip lengkap adalah bertarikh 1849 dan berkait langsung sebagai pahlawan dan adiwira sebuah kerajaan Melayu terbesar iaitu kerajaan Melaka. Menurut Kassim Ahmad (1975) Hikayat Hang Tuah ialah lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka. Sulastin (1983) berpendapat Hikayat Hang Tuah adalah sebuah karya yang memberikan gambaran jelas tentang sistem nilai atau sistem budaya masyarakat Melayu. Selain itu, Liaw Yock Fang (1975) menyatakan yang Hikayat Hang Tuah adalah hikayat yang seMelayu-Melayunya.




Naskhah Hikayat Hang Tuah dalam tulisan tangan

Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu yang taat kepada rajanya dan hidup pada masa pemerintahan Sultan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka bermula pada tahun 1400-1511). Beliau lahir di Kampong Sungai Duyong kira-kira dalam tahun 1444. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Selepas itu keluarga mereka pindah Bentam. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana. Hang Tuah mempunyai empat orang sahabat iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka sangat rapat seperti lima bersaudara. Hang Tuah telah mempelajari 12 bahasa, antaranya bahasa Keling, Siam, Cina, Jawa. Hang Tuah ini sangat hebat dalam ilmu kepahlawanan dan pernah berguru dengan Aria Putera di Bukit Pancalusa.

Noriah Mohamad (1997) menyatakan bahawa Hang Tuah ialah seorang intelektual Melayu. Dia menguasai ilmu agama, ilmu dunia, ilmu praktik, ilmu batin, ilmu diplomasi, ilmu budaya, dan ilmu adat. Hassan Ahmad (2009) pula menggelar Hang Tuah sebagai wira budaya Melayu kerana beliau berpendapat bahawa Hang Tuah ialah seorang yang beradat, berilmu, dan taat kepada raja, dan negaranya. Selain itu, Ahmad Samin Siregar (2010) berpendapat bahawa Hang Tuah sebenarnya bukanlah wira bagi masyarakat Melayu Malaysia sahaja, tetapi juga merupakan wira bagi masyarakat Indonesia. Beliau menggelar Hang Tuah sebagai ‘wira lintas daerah,’wira lintas, dan wira lintas negara’. Ciri-ciri ketokohan Hang Tuah termasuk tentang kepahlawanan, kebijaksanaan dan ketaatannya telah membuktikan yang Hang Tuah ialah wira bangsa Melayu. Kegagahan dan keperkasaan Hang Tuah inilah yang perlu dihembus sebagai api semangat bangsa ke dalam jiwa anak-anak dan masyarakat pada hari ini supaya dapat menjadikan tauladan dalam kehidupan harian.


No comments:

Post a Comment

ADAT PERKAHWINAN MELAYU

Adat perkahwinan Melayu suatu adat yang begitu unik dalam masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan ada...