Watak Hang Tuah ini amatlah agung. Hang Tuah adalah wira bangsa Melayu
yang perlu terus diabadikan dalam ingatan masyarakat. Berdasarkan pelbagai
rujukan termasuk karya-karya agung seperti Hikayat Hang Tuah telah menunjukkan
Hang Tuah menepati ciri-ciri sedemikian. Riwayatnya
telah dikisahkan dalam bentuk tulisan epik terbesar yang pernah dihasilkan oleh
sasterawan Melayu sejak awal abad ke-17 iaitu mula ditulis sekitar 1700 (Leiden
manuscript Cod.Or.1762.) tetapi manuskrip lengkap adalah bertarikh 1849 dan
berkait langsung sebagai pahlawan dan adiwira sebuah kerajaan Melayu terbesar
iaitu kerajaan Melaka.
Menurut Kassim Ahmad (1975) Hikayat Hang Tuah ialah lambang kekuasaan dan kebesaran
Melaka. Sulastin
(1983) berpendapat Hikayat Hang Tuah adalah sebuah karya yang memberikan
gambaran jelas tentang sistem nilai atau sistem budaya masyarakat Melayu.
Selain itu, Liaw Yock Fang (1975) menyatakan yang Hikayat Hang Tuah adalah
hikayat yang seMelayu-Melayunya.
Naskhah Hikayat Hang Tuah dalam
tulisan tangan
Hang Tuah
ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu yang taat kepada rajanya dan hidup
pada masa pemerintahan Sultan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka
bermula pada tahun 1400-1511).
Beliau lahir di Kampong Sungai Duyong kira-kira dalam tahun 1444. Bapanya
bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Selepas itu
keluarga mereka pindah Bentam. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana
yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan
dayang di istana. Hang Tuah mempunyai empat orang sahabat iaitu Hang Jebat,
Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka sangat rapat seperti lima
bersaudara. Hang Tuah telah mempelajari 12 bahasa, antaranya bahasa Keling,
Siam, Cina, Jawa. Hang Tuah ini sangat hebat dalam ilmu kepahlawanan dan pernah
berguru dengan Aria Putera di Bukit Pancalusa.
Noriah Mohamad
(1997) menyatakan bahawa Hang Tuah ialah seorang intelektual Melayu. Dia
menguasai ilmu agama, ilmu dunia, ilmu praktik, ilmu batin, ilmu diplomasi,
ilmu budaya, dan ilmu adat. Hassan Ahmad (2009) pula menggelar Hang Tuah
sebagai wira budaya Melayu kerana beliau berpendapat bahawa Hang Tuah ialah
seorang yang beradat, berilmu, dan taat kepada raja, dan negaranya. Selain itu,
Ahmad Samin Siregar (2010) berpendapat bahawa Hang Tuah sebenarnya bukanlah
wira bagi masyarakat Melayu Malaysia sahaja, tetapi juga merupakan wira bagi
masyarakat Indonesia. Beliau menggelar Hang Tuah sebagai ‘wira lintas
daerah,’wira lintas, dan wira lintas negara’. Ciri-ciri
ketokohan Hang Tuah termasuk tentang kepahlawanan, kebijaksanaan dan
ketaatannya telah membuktikan yang Hang Tuah ialah wira bangsa Melayu. Kegagahan dan keperkasaan Hang Tuah
inilah yang perlu dihembus sebagai api semangat bangsa ke dalam jiwa anak-anak
dan masyarakat pada hari ini supaya dapat menjadikan tauladan dalam kehidupan
harian.