Adat perkahwinan Melayu suatu adat yang begitu unik dalam
masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam,
adat perkahwinan melayu , kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan.
Bagi masyarakat Melayu, adat perkahwinan melayu begitu dititikberatkan. Sesuatu
upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh
adat istiadat.
Berikut adalah peringkat adat perkahwinan melayu yang
masih diamalkan sehingga kini :
ADAT MERISIK.
Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat
beberapa peringkat penting. Pertama sekali adalah peringkat merisik . Adat ini
juga dipanggil meninjau atau menengok. Dalam budaya Melayu, adat ini merupakan
tahap awal menjodohkan teruna dan dara, yang melibatkan pertemuan antara wakil
keluarga teruna dengan orang tua pihak dara. Pertemuan tersebut dianggap
penting untuk menghormati keluarga pihak dara. Sebagaimana ungkapan dalam adat
Melayu kalau hendak meminang anaknya, pinanglah ibu bapanya terlebih dahulu.
Ungkapan tersebut menjelaskan bahwa pandangan dan restu orang tua perlu
diperoleh terlebih dahulu dalam membuat keputusan yang besar seperti
perkawinan. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang
dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini penting, kerana
dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu,
adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis. Lazimnya adat
ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau
bapa saudaranya. Prosesi merisik dilakukan dengan tertib dan sopan untuk
menjaga dan memelihara nama baik kedua belah pihak.
ADAT MEMINANG
Setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum berpunya,
pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan
peminangan.Wakil dari pihak lelaki yang biasanya dipilih dari kalangan orang
tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki tersebut untuk mewakili mereka
meminang anak dara yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada anak dara
tersebut tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak yang datang
meminang kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh untuk memberi
jawapan atau dipanggil bertangguh. Sebenarnya, adat bertangguh ini mencerminkan
budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh dan menunjukkan
kesopanan dalam setiap tingkahlaku. Sudah menjadi rutin dalam kehidupan
seharian masyarakat Melayu untuk tidak tergopoh-gapah dalam mengendalikan apa
sahaja dan adalah menjadi pegangan bahawa setiap hal yang dilaksanakan perlu
dijalankan dengan rapi dan tersusun mengikut adat yang ditetapkan.
ADAT BERTUNANG
Oleh yang demikian, maka penghantaran tanda daripada
lelaki kepada anak dara yang bakal dikahwininya akan dilakukan melalui upacara
bertunang. Upacara ini membawa pengertian bahawa anak dara tersebut sudah pun
dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Tanda yang dihantar oleh lelaki
tersebut mengikut adat lazimnya adalah sebentuk cincin sahaja mengikut citarasa
dan kemampuan ibu bapa lelaki tersebut.
Namun begitu,
bagi masyarakat Melayu, selain cincin, beberapa barangan lain turut diberikan
seperti sepasang kain dan selendang, selipar atau sepatu, kuih-muih, manisan,
dan yang paling utama dan dianggap sakral, sirih junjung. Semua hantaran akan
dihias dengan cantik dan menarik serta akan dibalas oleh pihak perempuan
sebagai tanda setuju menerima pinangan. Jumlah hantaran yang dihantar oleh
pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil dan dibalas lebih oleh pihak
perempuan, selalunya sebanyak dua dulang. Contohnya, jika pihak lelaki
memberikan 7 hantaran dulang, biasanya pihak perempuan akan membalas 9 dulang.
Hantaran dari pihak perempuan biasanya berupa sirih junjung, sepersalinan baju
melayu, capal dan kuih-muih.
ADAT BERINAI
Majlis berinai di dalam masyarakat Melayu dijalankan
secara berperingkat. Terdapat 3 peringkat berinai iaitu berinai curi, berinai
kecil dan berinai besar. Secara ringkasnya berinai
curi ini biasanya diadakan pada waktu petang hari selepas hari
yang tangan dan tapak kaki bakal pengantin perempuan diinai. Bakal pengantin
perempuan dihiasi dan didudukkan di atas pelamin. Ia juga dikatakan diadakan
tiga malam sebelum hari langsung dan hanya untuk tatapan saudara mara terdekat
sahaja.
Manalaka berinai
kecil pula dilakukan selepas berinai curi. Dan ia selalu
dilakukan disebelah petang. Bakal pengantin perempuan dihiasi dan didudukkan di
atas pelamin. Ia juga dikatakan diadakan tiga malam sebelum hari langsung dan
hanya untuk tatapan saudara mara terdekat sahaja.
Bagi
istiadat berinai besar pula, ianya
dijalankan pada malam sebelum majlis langsung atau selepas majlis akad nikah
untuk para jemputan khas daripada kedua-dua belah pihak pengantin. Pengantin
perempuan akan memakai inai pada kesemua jari tangan dan kaki termasuklah pada
tapak tangan. Sebaliknya, pengantin lelaki hanya memakai inai pada jari
kelingking, jari manis dan jari hantu pada sebelah tangan sahaja. Istiadat
berinai besar bermula dengan para tetamu lelaki naik ke pelamin untuk membuang
sedikit nasi kunyit pada sebelah kiri kanan pengantin lelaki. Kemudian
dilakukan dengan bertih, diikuti oleh tangkai daun wangi yang dicelupkan ke
dalam air daun setawar dan kemudian digunakan untuk menyentuh kedua-dua
belakang tangan pengantin lelaki. Akhirnya, tetamu akan mengambil sedikit pes
inai dari longgok di tengah dulang dan selepas meletakkannya pada daun sirih
yang disediakan oleh emak pengantin, akan meletakkannya pada tapak tangan
pengantin lelaki
ACARA-ACARA LAIN YANG BERKAITAN
AKAD NIKAH
Akad nikah merupakan satu acara penting dalam perkahwinan
masyarakat Melayu. Ia bukan suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan
merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Upacara ini dijalankan
selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan
seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan lain sepertimana yang
dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Akad nikah
boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin
perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Di dalam upacara akad nikah,
bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau
bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam.
Selepas akad
nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan air sembahyang. Si
suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang
menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil keduanya bersalaman. Adat ini
dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan.
Selepas itu
adat berinai akan dijalankan di mana kedua mempelai ditepung tawar. Peralatan
yang digunakan untuk upacara ini ialah semangkuk bertih, semangkuk beras
kunyit, sepiring inai, beberapa tangkai daun seribu yang diikat dan semangkuk
air tepung tawar. Wakil kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini
dengan cara mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan
pengantin. Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di hadapan pengantin dan
juga kepada para hadirin.
Bunga telur
akan diberi kepada mereka yang menepung tawar. Jumlah orang yang menepung tawar
lazimnya dalam bilangan ganjil.
MAJLIS PERKAHWINAN
Sebelum majlis perkahwinan dijalankan, berbagai persiapan
akan dijalankan termasuklah mendirikan bangsal penanggah, khemah tetamu,
menyiapkan pelamin dan bilik pengantin serta menyediakan bunga telur. Majlis
perkahwinan juga dikenali sebagai hari langsung atau hari bersanding. Ia
merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah pengantin digelar
raja sehari.
Pada hari
tersebut, majlis diadakan secara meriah dengan dihadiri oleh sanak saudara,
jiran tetangga dan sahabat handai. Kedua-dua mempelai akan memakai dengan
pakaian pengantin, lazimnya baju songket dan dihias indah dengan perhiasannya
sekali. Pengantin perempuan akan diandam oleh mak andam sebelum majlis
persandingan bermula. Bagi mak andam tradisional, solekan pengantin didahului
dengan jampi serapah untuk menaikkan seri muka pengantin dan diberi makan sireh
untuk membuang perasaan gemuruh.
Ada juga
pengantin yang dicukur bulu kening dan dipotong anak rambutnya supaya kelihatan
lebih menarik. Adat mengasah gigi juga dilakukan bertujuan untuk meratakan
gigi. Namun adat ini sudah tidak lagi diamalkan oleh masyarakat Melayu hari ini.
Pengantin lelaki
akan diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga manggar dari rumah
penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan. Kedatangan rombongan pengantin
lelaki akan disambut dengan taburan beras kunyit. Pengantin perempuan akan
menyambut kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan pengantin akan
dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan.
Pada
kebiasaannya, persembahan pencak silat atau juga dipanggil menyembah pengantin
akan diadakan. Selepas itu, pengantin akan akan dibawa naik ke rumah untuk adat
bersanding pula.Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa
halangan di hadapan tangga, di muka pintu atau di atas pelamin untuk
mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu wakil pengantin lelaki perlu membayar
tebus pintu atau tebus pelamin. Pengantin akan bersanding di atas pelamin yang
dihias indah dan antara yang terdapat di atas pelamin ialah bunga pahar. Semasa
adat bersanding diadakan, adat menepung tawar turut dilakukan. Para tetamu dan
jemputan yang hadir juga akan diberi bunga telur pada hari tersebut.
Video adat perkahwinan Melayu sumber dari Youtube